Saturday, September 03, 2005

PERSEPSI MAHASISWA UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) TERHADAP PROSES PEMBINAAN NEGARA-BANGSA MALAYSIA















Abstrak

PERSEPSI MAHASISWA UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) TERHADAP PROSES PEMBINAAN NEGARA-BANGSA MALAYSIA

Mohd Fauzi Bin Mat Adam

Kajian ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti persepsi-persepsi mahasiswa Universiti Putra Malaysia terhadap proses pembinaan negara-bangsa Malaysia. Sejumlah 100 orang mahasiswa Universiti Putra Malaysia telah dipilih sebagai responden kajian. Pemilihan sampel adalah menggunakan kaedah persampelan rawak mudah. Data daripada soal selidik telah dianalisis dengan menggunakan program “Statistical Package For Social Science” (SPSS For Windows, Version 11.0). Keputusan kajian menunjukkan bahawa: (1) mahasiswa masih kurang didedahkan dengan konsep negara-bangsa Malaysia, (2) sebahagian besar mahasiswa mempunyai persepsi positif terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi pembinaan negara-bangsa Malaysia, (3) mahasiswa mempunyai persepsi yang berbeza dikalangan mereka didalam melihat perkara-perkara berkaitan politik, pembangunan, ekonomi dan sosial; terdapat elemen-elemen positif daripada persepsi yang dikenalpasti mampu mempercepatkan proses pembentukan negara-bangsa Malaysia: namun masih terdapat elemen-elemen negatif yang memerlukan tindakan susulan untuk membantu mempercepat proses pembinaan negara-bangsa ini, (4) mahasiswa secara amnya mempunyai persepsi berbeza dikalangan mereka dalam menentukan ciri-ciri asas negara-bangsa yang ingin dibentuk dan (5) analisis keseluruhan kajian mendapati perbezaan persepsi dikalangan mahasiswa masih dapat dikaitkan dengan jelas berdasarkan faktor keturunan. Di akhir kajian beberapa cadangan dikemukakan sebagai alternatif untuk pihak-pihak berwajib bagi membantu mempercepatkan proses pembinaan dan pembentukan negara-bangsa Malaysia yang mantap sifatnya.


Abstract


PERCEPTIONS OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA STUDENTS TOWARDS THE PROCESS OF MALAYSIA NATION-BUILDING


Mohd Fauzi Bin Mat Adam


This research seeks to identify students perception about the process of nation-building in Malaysia. One hundred UPM students were identified as respondents. Sampling was made using the random technique and data from the questionaire was analyzed using the “Statistical Package For Social Science” (SPSS For Windows. Version 11.0). Results show that : (1) a large percentage of student respondents were not sufficiently exposed towards the process of nation-building in Malaysia, (2) a large number of student respondents have positive perception towards factors which influenced the process of nation-building in Malaysia, (3) student respondents have different perceptions on the process of nation-building and on development based on political, economic and social outlook, (4) student respondents generally have different perceptions about what constitute the basic characteristic of the desired nation-state, and (5) the overall analysis of the research shows that there exist differences in the perception among student respondents. This can be attributed to the ethnic factor. The study concluded with a number of suggestions to speed up the process of nation-building and the formation of a concrete Malaysian nation-state identity.



BAB 1
PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Menurut Kamus Dewan (1994: 924), negara-bangsa didefinisikan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara-bangsa pula adalah merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dikalangan semua penduduk sesebuah negara (INTAN, 1980). Ia beerti mewujudkan sentimen satu bangsa dan satu negara serta melahirkan keperibadian bangsa (Faizal Othman, 1993).

Mahasiswa pula merupakan golongan penting dalam generasi muda hari ini yang akan mewarnai dan mencorakkan negara Malaysia pada masa akan datang. Mahasiswa merupakan suatu golongan penduduk negara ini yang umumnya akan terlibat pada masa akan datang dalam memberikan pelbagai jenis perkhidmatan dan melaksanakan perancangan pembangunan serta pentadbiran. Nyatalah golongan ini akan memainkan peranan yang amat penting di dalam proses pembinaan negara-bangsa. Penghayatan dan penerimaan dalam hal ini merupakan perkara utama yang harus ada pada mahasiswa bagi menjayakan proses pembinaan negara-bangsa Malaysia. Oleh itu, persepsi mahasiswa terhadap aspek-aspek di dalam agenda pembinaan negara-bangsa merupakan perkara yang akan dikaji dalam kajian ini.

Ke arah membentuk satu negara-bangsa Malaysia, terdapat tiga faktor yang mendominasi perbincangan iaitu faktor politik, ekonomi, dan sosial. Mengikut Ranjit (1996), faktor politik dilihat dari sudut penggabungan parti-parti politik pelbagai kaum melalui Parti Perikatan dan Barisan Nasional. Kerjasama dan pakatan politik pelbagai kaum dalam Barisan Nasional telah menghasilkan kestabilan politik dan keamanan di dalam negeri. Faktor politik juga merupakan ciri asas ke arah mempercepatkan agenda pembinaan negara-bangsa ini. Kestabilan politik menjadi prasyarat kepada pembangunan dan kepesatan ekonomi sesebuah negara. Secara umumnya terdapat perbezaan persepsi antara individu di dalam melihat kepada faktor ini. Perbezaan persepsi ini berlaku kerana di dalam masyarakat majmuk yang dicirikan oleh kewujudan berbagai-bagai unsur perbezaan menghasilkan kehendak yang berbeza didalam melihat sesuatu isu. Seterusnya ianya menghasilkan perbezaan falsafah dalam rupa pembinaan negara-bangsa dan cara-cara mencapainya. Melalui kajian dan penulisan, didapati perbezaan persepsi tentang negara-bangsa melalui faktor politik wujud berdasarkan kaum dan wilayah. Keadaan ini menjuruskan kepada lahirnya persepsi-persepsi tersendiri daripada mahasiswa mengenai perspektif politik ini. Jika terdapat perbezaan persepsi yang tidak ketara dikalangan mahasiswa pada masa kini, ianya mampu mempercepatkan terbentuknya negara-bangsa Malaysia.

Dari segi faktor ekonomi, perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan perkara yang sering dikaitkan dengan pembinaan negara-bangsa Malaysia. Selepas merdeka, keadaan ekonomi rakyat Malaysia pada masa itu adalah diidentifikasikan dengan sesautu kumpulan etnik. Secara umumnya, jika terdapat kumpulan etnik yang diindentitikan sebagai menguasai sesautu bidang, ianya pasti menimbulkan perasaan cemburu dan syak wasangka dan ini pastinya mencacatkan proses pembinaan negara-bangsa. Pudarnya pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi secara tidak langsung menguatkan lagi hubungan perpaduan antara kaum di Malaysia. Selepas perlaksanaan DEB, persepsi-persepsi mahasiswa mengenai aspek ekonomi ini adalah diharapkan turut berubah.

Faktor sosial yang mempengaruhi pembinaan negara-bangsa Malaysia pula merangkumi peranan-peranan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan. Melalui perkara-perkara ini banyak perbincangan yang dapat dibuat bagi menghasilkan satu identiti nasional negara-bangsa Malaysia yang dibentuk. Pembinaan negara-bangsa merupakan suatu proses mewujudkan semangat kenegaraan atau perasaan kekitaan. Melalui takrifan ini faktor sosial merupakan faktor penting untuk mewujudkannya. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia menyukarkan pembentukan satu identiti nasional namun titik pertemuan antara kepelbagaian kaum ini masih tidak mustahil dapat dilaksanakan. Oleh itu persepsi-persepsi yang lahir dari mahasiswa sebagai sebahagian dari masyarakat mampu membantu mencari titik persamaan dan pertemuan didalam melahirkan negara-bangsa yang stabil.

Agenda pembinaan negara-bangsa menjadi lebih penting kepada negara ini kerana mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Di Malaysia, setiap kaum mempunyai persepsi atau tanggapan tersendiri terhadap kaum lain dan ianya masih lagi dipisahkan dengan panggilan bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India dan bangsa-bangsa lain. Walaupun perhubungan di antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia bertambah baik namun pemisahan sosial masih wujud. Ini pastinya akan memperkukuhkan sentimen perkauman. Pendekatan yang dapat merapatkan jurang akan meningkatkan sikap penerimaan yang lebih terbuka dan saling mempercayai antara kaum. Sekiranya mahasiswa atau golongan cerdik pandai ini bersefahaman dan dapat melepaskan diri daripada kongkongan prasangka dan perasaan perkauman barulah mereka dapat dipertanggungjawabkan untuk membentuk dan mengalakkan orang lain berbuat demikian. Ini sekaligus dapat memberi kesan kepada pembinaan bangsa Malaysia.

Antara isu dan cabaran yang paling sukar ditangani dalam proses pembinaan satu negara-bangsa Malaysia ialah bagaimana menyatukan masyarakat dari segi wilayah-wilayah yang terpisah oleh faktor-faktor geografi. Proses mengintegrasi Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia dengan mewujudkan kerjasama dan keharmonian hidup akan mempercepatkan pembentukan negara-bangsa. Secara umumnya, wilayah-wilayah ini mempunyai persepsi dan cadangan masing-masing terhadap identiti negara-bangsa Malaysia yang akan dibentuk. Persefahaman, kerjasama dan toleransi antara wilayah adalah penting bagi mewujudkan identiti negara-bangsa Malaysia ini. Di universiti-universiti terdapat mahasiswa yang datang dari pelbagai tempat di seluruh Malaysia. Mereka ini berbeza dari segi tempat asalnya, namun untuk mewujudkan satu negara-bangsa Malaysia, perbezaaan yang ketara antara mahasiswa-mahasiswa pastinya mencacatkan agenda besar ini.

1.2 Kenyataan masalah

Di dalam kandungan Wawasan 2020 digariskan sembilan cabaran tentang ciri-ciri dan sifat negara yang diingini pada tahun 2020. Cabaran utama yang harus ditangani ialah membentuk sebuah negara-bangsa yang bersatupadu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Ini bermakna untuk menjayakan Wawasan 2020 seperti yang dihasratkan oleh penulisnya, cabaran pertama tadi haruslah disempurnakan sebaik mungkin supaya dapat merealisasikan cabaran-cabaran lain yang terkandung di dalamnya.

Jika ditinjau dari aspek sejarah, negara-bangsa adalah satu konsep baru bagi masyarakat majmuk di negara ini. Perjuangan kemerdekaan yang berjaya mengambil alih kuasa daripada penjajah tidak menjadikan pembinaan bangsa Malaya ataupun bangsa Malaysia sebagai bangsa idaman yang mahu dibentuk dengan tersingkirnya penjajah. Selepas terbentuknya Malaysia pada tahun 1963, yang terbentuk hanyalah negara Malaysia, sedangkan bangsa Malaysia yang utuh dan bersatu masih jauh daripada terwujud. Bahkan pada hari ini, setelah empat dekad merdeka, bangsa Malaysia masih juga dalam proses pembentukannya.

Persoalannya mengapakah penting kewujudan negara-bangsa kepada kita ? Jika konsep perpaduan negara, secara amnya bermaksud perpaduan antara suku kaum agar tidak berlaku pergelutan seperti pada 13 Mei 1969. Manakala integrasi nasional pula tidak dianggap lebih daripada penggabungan serta penyatupaduan daerah atau wilayah supaya tidak timbul gerakan-gerakan pemisahan. Kedua-dua konsep tadi iaitu perpaduan negara dan integrasi nasional bolehlah disimpulkan sebagai pendekatan bersifat jangka pendek semata-mata. Ini amat berbeza dengan kewujudan negara-bangsa kerana ianya lebih bersifat jangka panjang dan dapat menjamin survival Malaysia untuk masa-masa mendatang. Lahirnya negara-bangsa Malaysia akan terwujudlah sebuah negara maju yang berperadaban tinggi, makmur pembangunan ekonominya, mantap dari segi perawakan moral dan etika serta kukuh benteng kerohanian masyarakatnya. Pergeseran etnik adalah hampir mustahil untuk berlaku ketika itu. Persoalannya, dimanakah tahap negara kita pada masa sekarang ? Adakah kita sudah wujud sebagai sebuah negara-bangsa atau masih di tahap perpaduan dan integrasi nasional. Pastinya kita masih jauh dengan kewujudan sebagai sebuah negara-bangsa. Jadi, bagaimanakah cara-cara untuk mencapai hasrat yang murni ?

Persoalan yang biasanya timbul dalam membincangkan negara-bangsa ialah apakah wajah atau identiti negara-bangsa Malaysia yang ingin diwujudkan itu ? Seperti yang diketahui, negara bekas jajahan yang baru merdeka selalunya dikekangi masalah masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk yang dicirikan oleh pelbagai perbezaan ini, memungkinkan perpecahan berlaku sekaligus boleh mengugat keutuhan sesebuah negara. Hal ini berlaku kerana terdapat perbezaan falsafah dalam menentukan pembinaan rupa bangsa negara dan masa hadapan negara serta cara-cara mencapainya. Jesteru, bagi menjamin keutuhan negara Malaysia pada abad-abad mendatang yang pastinya lebih mencabar, langkah terpenting ialah membentuk negara-bangsa Malaysia secepat yang mungkin. Perbezaan falsafah tadi mestilah ditangani segera bagi membentuk satu wajah atau identiti bangsa Malaysia yang unggul. Permasalahannya pula bagaimanakah negara-bangsa Malaysia ini boleh terbentuk dan berkembang ?

Mahasiswa pula merupakan suatu golongan penduduk penting negara ini yang umumnya akan terlibat pada masa akan datang dalam memberikan pelbagai jenis perkhidmatan dan melaksanakan perancangan pembangunan serta pentadbiran. Manakala pembinaan negara-bangsa memerlukan pengetahuan, kesedaran dan penghayatan dari warganya. Maka kita perlu bertanya apakah mahasiswa benar-benar telah diberi pendedahan dan mempunyai kesedaran serta penghayatan yang jelas terhadap agenda pembinaan negara-bangsa Malaysia ini ?

Seterusnya, mahasiswa seharusnya mempunyai persepsi-persepsi yang membantu ke arah membentuk negara-bangsa yang unggul. Jadi tertanya kepada kita apakah persepsi-persepsi mahasiswa terhadap proses pembinaan negara-bangsa ini. Adakah ianya membantu mempercepatkan proses pembinaan negara-bangsa atau terdapat perbezaan persepsi yang ketara antara mereka ?






1.3 Objektif Kajian

Objektif kajian ini terbahagi kepada dua iaitu:

Objektif Am

Untuk menghuraikan persepsi-persepsi mahasiswa di Universiti Putra Malaysia terhadap proses pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Objektif Khusus

Terdapat enam objektif khusus kajian ini. Pertamanya, untuk membincangkan konsep pembinaan negara-bangsa Malaysia. Keduanya, mengenalpasti sejauhmana pendedahan yang diterima oleh mahasiswa terhadap konsep dan proses pembinaan negara-bangsa Malaysia. Ketiganya, untuk menghuraikan persepsi mahasiswa terhadap faktor-faktor utama dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia. Keempatnya adalah untuk mengenalpasti persepsi mahasiswa terhadap perkara-perkara dan isu-isu yang berkaitan dengan negara-bangsa Malaysia. Kelimanya, menganalisis persepsi mahasiswa terhadap ciri-ciri asas dalam pembentukan negara-bangsa Malaysia. Yang terakhir ialah untuk membandingkan persepsi mahasiswa terhadap proses pembinaan negara-bangsa Malaysia berdasarkan latarbelakang terpilih.



1.4 Kepentingan Kajian

Dalam usaha ke arah mencapai matlamat negara maju yang dapat bersaing dipentas dunia, Malaysia yang kini sudah menampakkan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi yang mantap perlu memikirkan satu suasana yang lebih baik dan sempurna untuk terus berkembang dan pesat membangun. Maka kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi itu merupakan satu situasi yang cukup kondusif untuk perbincangan, kajian dan perlaksanaan tentang merealisasikan kewujudan negara-bangsa Malaysia.

Perbincangan mengenai konsep negara-bangsa di Malaysia merupakan satu perkara baru, maka melalui kajian ini diharapkan akan dapat mewujudkan rasa penghayatan dan kesedaran kepada pembaca terutamanya mahasiswa tentang betapa perlunya sebuah negara-bangsa Malaysia diwujudkan. Penghayatan dan kesedaran dari setiap individu ini merupakan asas yang paling penting untuk mewujudkan rasa kekitaan dan kesetiaan terhadap negara kita.

Kajian mengenai senario dan situasi semasa generasi muda diharapkan akan dapat menghasilkan sesautu yang perlu bagi kegunaan perancangan pembinaan negara-bangsa Malaysia. Sebagai contoh, hasil kajian bolehlah digunakan bagi merancang bagaimana untuk merapat dan mengintegrasikan antara mahasiswa yang berbeza etniknya di institusi pengajian tinggi. Jika mahasiswa di institusi pengajian tinggi mempunyai rasa kekitaan dan kesetiaan yang tinggi terhadap negaranya tanpa dipisahkan dengan elemen sempit seperti etnik, kedaerahan dan kepercayaan maka ianya merupakan asas dan gambaran kepada negara-bangsa yang akan terbentuk.

Kajian ini juga berkemungkinan dapat digunakan dan diaplikasikan oleh pihak-pihak yang berwajib untuk menyusun tindakan ke arah itu. Ini sangat penting kepada pihak berwajib terutamanya pihak pemerintah untuk mengambil tindakan seterusnya bagi mencari strategi dan alternatif terbaik yang boleh digunakan bagi mencapai matlamat sebuah negara-bangsa. Berkemungkinan ianya boleh digunakan oleh kementerian yang paling hampir dengan generasi muda iaitu Kementerian Belia dan Sukan. Sokongan dan dorongan daripada pihak pemerintah adalah penting supaya negara-bangsa tidak akan tinggal ungkapan dan angan-angan sahaja.


1.5 Kerangka Konseptual

Kajian mengenai persepsi mahasiswa terhadap proses pembinaan negara-bangsa Malaysia dapat diterangkan dengan lebih jelas lagi melalui konsep yang ditunjukkan dalam Rajah 1. Berdasarkan Rajah 1, persepsi mahasiswa terhadap proses pembinaan negara-bangsa Malaysia dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti jantina, kaum, tempat asal (bandar/luar bandar) dan negeri asal.

Perkaitan antara faktor-faktor ini yang akan mempengaruhi persepsi mahasisiwa terhadap faktor-faktor utama, perkara-perkara dan isu-isu berkaitan dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia dan ciri-ciri asas negara-bangsa yang ingin dibentuk.

Rajah 1: Kerangka Konsepsual


Latar belakang:
• Jantina
• Kaum
• Tempat asal
(bandar/ luar bandar)
• Negeri asal



Pendedahan
yang diperolehi









1.6 Persoalan kajian


1. Adakah mahasiswa telah diberi pendedahan yang meluas terhadap konsep dan proses pembinaan negara-bangsa Malaysia ?
2. Adakah terdapat perbezaan persepsi yang ketara diantara mahasiswa mengenai proses pembinaan negara-bangsa Malaysia ini ?
3. Jika terdapat perbezaan persepsi diantara mahasiswa, faktor latarbelakang apakah yang mempengaruhi pembentukan persepsi mereka ?
4. Di dalam perkara-perkara apakah terdapat persepsi yang sama dikalangan sebahagian besar mahasiswa ?
5. Di dalam perkara-perkara apakah terdapat persepsi yang berbeza dikalangan sebahagian besar mahasiswa ?

1.7 Limitasi Kajian

Hasil kajian dan juga kesimpulan yang boleh dirumuskan daripada kajian ini boleh diguna pakai terhadap 100 orang responden yang dikaji dan juga terhadap mahasiswa Universiti Putra Malaysia umumnya. Walaupun begitu kesimpulan daripada kajian ini kekuatannya kurang jika diguna pakai untuk mahasiswa institusi pengajian tinggi umumnya memandangkan jumlah reponden yang diwakili hanya 100 orang mahasiswa di Universiti Putra Malaysia sahaja.

Skop kajian mengenai negara-bangsa merupakan satu perkara yang amat luas. Memandangkan perbincangan mengenai negara-bangsa merupakan sesautu yang baru di negara kita, pengkaji hanya memilih aspek-aspek terpilih sahaja dan berkemungkinan banyak lagi aspek didalam perbincangan negara-bangsa yang terlepas dari skop kajian ini.

BAB 2
ULASAN KARYA TERPILIH

2.1 Pengenalan

Bab ini membincangkan ulasan karya lepas berkenaan perkara-perkara yang berada di dalam skop kajian. Perbincangan ini terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu, 1) definisi negara-bangsa ; 2) konsep pembinaan negara-bangsa; dan 3) pembinaan negara-bangsa Malaysia, yang juga mencakupi ciri-ciri dan bentuk negara-bangsa Malaysia, faktor-faktor utama serta masalah-masalah yang mempengaruhi proses pembinaan negara-bangsa Malaysia

2.2 Definisi negara-bangsa

Secara umumnya, pembinaan negara-bangsa (nation-building) adalah merupakan suatu proses mewujudkan semangat kenegaraan atau perasaan kekitaan dikalangan semua penduduk sesebuah negara. Melalui proses ini biasanya dapat mewujudkan suatu bangsa yang bersatupadu yang penduduknya mempunyai penumpuan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara tersebut (INTAN, 1980).

Manakala dalam istilah pengajian politik, sains politik atau kerajaan, bidang yang dipanggil pembinaan negara-bangsa merupakan pengajian mengenai masyarakat, sosiobudaya, sejarah, politik dan ekonomi. Pengajian ini memerlukan bukan sahaja pemahaman tetapi juga penghayatan sebagai seorang warganegara yang setia dan peka kepada sejarah, perubahan sistem pentadbiran, dasar dan pembangunan negara (Asnarulkhadi dan Jayum, 1997: 3).

Asnarulkhadi dan Jayum (1997: 3) seterusnya menyatakan bahawa dalam istilah pengajian politik, sains politik atau kerajaan, negara-bangsa merujuk kepada sebuah negara yang sudah mempunyai budaya sivik. Budaya sivik adalah sama erti dengan budaya politik yang boleh ditafsirkan sebagai satu set pengetahuan dan peraturan mengenai segala tingkah laku dalam politik. Jesteru sebuah negara yang berbudaya sivik adalah sebuah negara yang keseluruhan rakyatnya sudah menerima satu ‘pandangan dunia’ (weltanschauung) politik yang sama.

Rustam Sani (1993) pula menyatakan negara-bangsa adalah sebuah komuniti politik yang bersifat simbolik. Penduduknya adalah terangkum dalam sebuah wilayah yang mempunyai simbol-simbol kewibawaannya yang simbolik. Simbol-simbol tersebut telah dijadikan asas untuk memupuk nilai-nilai patriotisma, kebanggaan dan jatidiri negara-bangsa dikalangan warganya. Antara simbol-simbol tersebut adalah institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain yang dapat membentuk kesepaduan dikalangan warganya. Emerson pula menafsirkan negara-bangsa sebagai rasa diri sebagai satu bangsa menghasilkan penciptaan satu deria matlamat yang sama dan jatidiri yang sama. Manakala faktor mempercepatkan jatidiri yang sama adalah wilayah, bahasa, tradisi sejarah yang sama dan saling hubungan negara dan bangsa.

Tidak dinafikan terdapat banyak tafsiran tentang makna negara-bangsa. Namun menurut Abdul Rahman Embong (2001:12), persoalan negara-bangsa secara konseptual menjadi permasalahan penting disebabkan terdapat beberapa kekeliruan mengenainya. Ini kerana ada pihak yang menganilisis perkara tersebut secara legalitis dengan menghubungkannya dengan konsep ‘warganegara’ dan ada pula yang melihatnya berdasarkan konsep ras yang dihujahkan sebagai sukar untuk terbentuk.

Kesimpulannya, pengkaji bersetuju bahawa negara-bangsa merupakan dimana keseluruhan rakyatnya sudah menerima satu ‘pandangan dunia’ (weltanschauung) politik yang sama. Manakala institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain pula merupakan simbol-simbol yang dapat digunakan bagi membentuk kesepaduan dan jatidiri dikalangan rakyat di dalam negara-bangsa itu. Jelaslah bahawa pembinaan negara-bangsa sangatlah kompleks untuk dilaksanakan tetapi adalah tidak mustahil untuk dilaksanakan di Malaysia. Penghayatan, pemahaman dan kepekaan daripada seluruh lapisan masyarakat adalah amat diperlukan bagi menjaya dan mewujudkan negara-bangsa yang unggul ini.
2.3 Konsep pembinaan negara-bangsa

Seperti yang kita maklumi bahawa negara-negara membangun dan Negara Dunia Ketiga telah lama merdeka. Namun, permasalahan yang belum selesai sepenuhnya adalah persoalan identiti nasional dan pembentukan bangsa dalam sebilangan besar negara-negara tersebut. Persoalan ini amat penting dalam memastikan negara tersebut terus wujud dan bertapak kukuh demi untuk membina sebuah tamadun bangsa yang tinggi.

Kewujudan masalah membina negara-bangsa ini diperhatikan kerana kepelbagaian dalam masyarakat. Menurut Rustam (1993), kebanyakan negara-negara itu dicirikan oleh keanekaragaman ikatan primodial yang kuat dengan sistem-sistem kekerabatan, kelompok, ras, bahasa, dan agama yang berbagai-bagai. Perbezaan yang ketara di dalam masyarakat ini menghasilkan persaingan dan konflik etnik kerana diantara mereka cuba untuk memperjuangkan falsafah dan cara mereka. Akhirnya keanekaragaman inilah yang sering mengancam perpaduan dan kesatuan politik, serta kehidupan berbangsa dan bernegara yang tulen.

Tambah Rustam (1993) lagi, dalam kebanyakan negara tersebut keupayaan membina negara-bangsa melibatkan usaha melahirkan semacam rasa kesetiaan, penyertaan dan identiti nasional yang melewati batasan-batasan sosial yang memisahkan kelompok-kelompok di dalamnya. Usaha-usaha inilah yang diperhatikan sebagai titik tolak terpenting dalam mewujudkan negara-bangsa. Untuk melaksanakan usaha-usaha tadi, terlebih dahulu ditentukan elemen-elemen yang boleh mengikat semua masyarakat di dalam negara itu supaya taat, setia dan boleh bertolak ansur antara satu sama lain. Elemen-elemen ini, selain daripada boleh membezakan masyarakat negara itu dengan masyarakat negara lain di dunia, perlu juga didasari pada sejarah silam negara tersebut. Ini untuk mempastikan bahawa rasa cinta dan kasih terhadap negara akan berterusan dan abadi.

Seterusnya, pembinaan negara-bangsa akan mewujudkan persoalan apakah sifat dan ciri-ciri yang boleh dikaitkan dengan negara dan masyarakat berkenaan. Asnarulkhadi dan Jayum (1997: 13) menyatakan terdapat tiga ciri yang boleh dikaitkan dengan sebuah negara yang sudah mempunyai budaya sivik iaitu; 1) masyarakat ini hidup aman damai tanpa dipisahkan oleh elemen-elemen sempit khasnya etnik, kedaerahan, kebudayaan dan kepercayaan; 2) sebilangan besar ahli masyarakat berpegang kepada ideologi politik yang sama dan 3) kepercayaan kepada sistem pemerintahan dan undang-undan negara masih tinggi. Asnarulkhadi dan Jayum (1997: 3) menambah lagi bahawa dalam konteks Malaysia khasnya dan pengajian sains politik dan kerajaan amnya, konsep perpaduan, intergrasi dan negara-bangsa boleh dilihat sebagai ‘tingkat’ yang berbeza .

Rustam A. Sani (1993) pula mengaitkan negara-bangsa yang dibentuk pada asasnya adalah komuniti politik yang bersifat simbolis, dan dalam zaman moden komuniti politik itu seolah-olah dianggap lazim. Terdapat tiga syarat yang akan menentukan komuniti itu menjadi lazim iaitu; 1) para anggota atau warganya mengesahkan kewujudan komuniti tersebut; 2) keanggotaannya dalam komuniti tersebut iaitu melalui ikatan hak dan tanggungjawab dengan wilayah kewibawaannya dan 3) hubungan kesetiaan dengan simbol-simbol yang menjadi asas komuniti politik itu.

Seterusnya Fauzi Basri (1997) pula, menyatakan terdapat empat faktor penting dalam pembinaan negara-bangsa iaitu ancaman dari luar, gaya politik pemimpin, kehadiran satu bahasa yang sama dan pembentukan satu ideologi yang dapat menafsirkan matlamat negara-bangsa itu. Fauzi Basri juga merumuskan bahawa dalam soal membina negara-bangsa ternyata kewujudan satu bahasa amat berkesan kepada generasi muda dan satu pilihan bijak yang terbukti menjadi alat perpaduan antara kaum.

Perbincangan secara konseptual ini menampakkan betapa rumitnya agenda pembinaan negara-bangsa untuk direalisasikan pada keadaan masyarakat yang sebenar. Halangan dan cabaran yang dihadapi bukan sahaja berat malah juga sesautu yang amat kompleks. Cabaran yang utama dan harus ditangani sebaik mungkin ialah melaksanakan dan mengimplimentasikan perancangan dan pelan dalam proses pembinaan negara-bangsa itu. Tanpa kesungguhan dalam melaksanakan perancangan, pastinya negara-bangsa akan menjadi lemah terutamanya pada abad ini yang penuh cabaran akibat dilanda oleh arus kesejagatan atau globalisasi.


Perbincangan seterusnya meneliti apakah persoalan negara-bangsa ini masih relevan lagi bagi menghadapi abad-abad yang akan datang. Untuk itu, Abdul Rahman Embong (2001:21) menyatakan persoalan negara-bangsa tetap mengambil tempat yang penting dalam wacana yang menangani pelbagai cabaran abad ke 21. Samada sesautu pandangan itu menekankan pentingnya peranan negara-bangsa mahupun sebaliknya, konsep ini tetap menjadi rujukan.

Jesteru, Abdul Rahman memberi hujah mengatakan bahawa memang benar kepentingan negara-bangsa sudah menurun dengan syarikat-syarikat transnasional melakukan perniagaan 24 jam sehari, pengaliran maklumat berlaku tanpa henti menembusi sempadan negara-bangsa, migrasi melewati perbatasan berlaku terus menerus dan pemerintah sesautu negara tidak berupaya untuk mengawalnya. Namun dari segi realpolitik hari ini, negara-bangsa masih menjadi rujukan dan tindakan utama dan penting dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Sebagai contohnya tiga buah ‘naga’ Asia timur iaitu Taiwan, Korea Selatan dan Singapura menjadikan negara sebagai kerangka rujukan dan tindakan, malah sebagai penggerak utama pembangunan ekonomi mereka. Selain itu, apabila berdepan dengan pelbagai cabaran baru, orang ramai secara spontan akan merujuk kepada negara-bangsa masing-masing bagi penyelesaiannya. Ini bermakna negara-bangsa tetap menjadi pelaku utama dan penting yang terus berusaha mencapai kedudukan yang lebih unggul dan mengatasi negara lain. Globalisasi dalam batas tertentu telah melemah negara-bangsa tetapi tidak mungkin dapat menggantikan atau mencampakkannya.
Hujah dari Abdul Rahman Embong (2001) ini merupakan reaksi dan ulasannya daripada hujah-hujah oleh Kenichi Ohmae, iaitu seorang pakar strategi dan guru ilmu perniagaan, didalam bukunya The End of Nation State: How Regional Economies Will Soon Reshape the World (1995). Ohmae adalah seorang pengamat yang menolak kerelevanan dan kepentingan negara-bangsa. Menurutnya era penghujung abad ke 20 dan awal abad ke 21 adalah era berakhirnya negara-bangsa. Hujahnya yang paling utama ialah terbinanya dunia tanpa sempadan dimana setiap negara diasaskan oleh kecanggihan teknologi dan bergantung kepada jaringan aliran maklumat secara global. Maksudnya, sesautu tempat yang terdedah kepada pengaliran maklumat, walau sejauhmana pun ianya tidak menjadi halangan untuk merebut pasaran. Sekaligus, sempadan negara-bangsa tidak lagi bererti. Tambahnya lagi, peranan negara-bangsa akan diambil alih oleh negara wilayah. Negara-bangsa hanya akan bertindak sebagai pemangkin bagi aktiviti-aktiviti negara-wilayah tadi.

Berbeza dengan Ohmae, John Naisbitt (1994) pula menyenaraikan faktor-faktor yang menunjukkan negara-bangsa masih memainkan peranan penting dan masih relevan. Pertamanya dilihat melalui pertambahan tiga kali ganda anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Jika pada tahun 1945 ianya bermula dengan disertai 51 buah negara kini sudah dianggotai oleh 184 negara (hal. 9). Ini melihatkan bahawa di satu pihak peri pentingnya negara-bangsa semakin merosot tetapi di pihak lain semakin banyak pula negara-bangsa yang muncul.
Kedua, runtuhnya negara kesatuan seperti Soviet Union menjadi negara-negara kecil, tidak bererti konsep negara-bangsa itu sudah tidak penting malah sebaliknya proses itu diimbangi oleh pembentukan semula negara-bangsa. Ini satu bukti emperikal tentang hakikat bahawa sentimen bangsa merupakan gerak kuasa politik dan budaya yang cukup kuat dalam menentukan arah perkembangan sejarah zaman ini di wilayah bekas blok Soviet, termasuklah di rantau Balkan.

Ketiga, berbanding dengan abad ke-19 yang digelar sebagai Abad Eropah, dan abad ke-20 sebagai Abad Amerika, abad ke-21 pula diramalkan oleh ramai pemerhati sebagai Abad Asia. Ini disebabkan oleh perkembangan ekonomi, khususnya ekonomi negara-negara di Asia Timur. Namun begitu, perlu ditunjukkan di sini bahawa perkembangan negara-negara ini adalah dalam kerangka negara-bangsa dan tidak kebetulan serta terpisah daripada kerangka itu. Jepun, misalnya menekankan pentingnya peranan negara dalam pembangunannya, samada pada zaman Kebangkitan Meiji selepas 1868, dan lebih-lebih lagi dalam pembangunan semula negara itu bermula tahun 1950-an, setelah kehancurannya dalam Perang Dunia Kedua. Selain itu, perang perdagangan hari ini diantara Amerika Syarikat dan Jepun jelas menunjukkan kedua-duanya bertindak dengan kepentingan ekonomi negara masing-masing sebagai titik tolak utama, sekalipun ekonomi mereka paling sejagat sifatnya.

Keempat, dari segi bahasa memang benar bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa universal yang digunakan oleh lebih satu billion penduduk dunia. Oleh itu, mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua bagi mereka yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris memang amat perlu (hal. 26). Tetapi seperti yang ditegaskan oleh Naisbitt, semakin bahasa Inggeris menduduki status universal dan menjadi bahasa kedua kebanyakkan orang, semakin penting pula tekanan yang diberikan kepada bahasa ibunda yang diperjuangkan oleh bangsa-bangsa berkenaan di merata dunia. Menurutnya, di Iceland setiap orang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tetapi mereka tetap melindungi dan menghormati bahasa mereka. Dengan kata lain, mengutamakan dan memperjuangkan bahasa sendiri sebagai bahasa kebangsaan yang moden dan bahasa ilmu dalam usaha pembinaan negara-bangsa menjadi arus yang selaras dengan arus global itu sendiri.

Kesimpulannya daripada pandangan Naisbitt ini, negara-bangsa masih tetap relevan dan akan terus menjadi unit rujukan dan tindakan kebanyakan orang di dunia. Di Malaysia, pembinaan negara-bangsa bukan sahaja relevan, malah menjadi satu kemestian sejarah yang amat perlu bagi menjamin keutuhan Malaysia sebagai salah satu pelaku utama di pentas dunia pada abad ke-21 (Abdul Rahman Embong, 2001:25). Oleh itu, pengkaji bersetuju dan pasti bahawa negara-bangsa akan terus memainkan peranan penting dan relevan untuk abad-abad mendatang. Kepastian bahawa negara-bangsa masih perlu dan amat relevan di Malaysia ini, menuntut kepada tindakan susulan yang boleh merealitikan pembentukannya.



2.4 Pembinaan negara-bangsa Malaysia

“Secara umumnya, menampakkan bahawa negara yang diimpikan oleh Perdana Menteri ialah sesebuah negara yang seolah-olah tidak lagi mempunyai berbilang kaum, tetapi hanya satu bangsa iaitu bangsa Malaysia ”

Daripada penyataan diatas mengambarkan matlamat negara-bangsa Malaysia yang akan dibentuk akan memudarkan pengenalan berdasarkan kaum yang ada sekarang, sebaliknya keseluruhan rakyat Malaysia akan diperkenalkan dengan panggilan bangsa Malaysia. Namun sebenarnya kenyataan di atas tidaklah dapat mengambarkan keseluruhan bentuk negara-bangsa Malaysia yang akan dibentuk kerana proses pembinaan negara-bangsa ini sebenarnya adalah lebih luas dan tidak hanya dikenali melalui luarannya sahaja. Walau bagaimanapun proses pembinaan negara-bangsa di Malaysia pada masa ini sebenarnya berada pada tahap yang paling sesuai dan kondusif untuk dirancang dan dilaksanakan secara serius bermula pada masa sekarang kerana keadaan politik dan ekonominya yang stabil.

Dalam membincangkan pembinaan negara-bangsa, Dahlan (1997) mengatakan selalu disebut-sebut dua perkara yang perlu ditangani serentak; pertama, persoalan tanah yang diselesaikan secara politik seperti perjuangan politik demi mencapai kemerdekaan bagi sebuah wilayah yang jelas sempadannya dan kedua, persoalan penduduk yang merangkumi perjuangan budaya yang diungkapkan secara intelektual politik untuk mengisi kemerdekaan dengan agenda kebebasan, kedaulatan dan penghormatan sebagai sebuah bangsa berkeperibadian dan keperwatakan rasional tersendiri. Secara amnya, di Malaysia perkara pertama tadi iaitu persoalan tanah telah dianggap selesai. Manakala perkara kedua iaitu persoalan penduduk itulah yang menjadi isu dan perbincangan hingga kini dalam melahirkan negara-bangsa Malaysia.

Perbincangan terlebih dahulu melihat kepada sejarah bagaimana terbentuknya negara Malaysia. Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31hb Ogos 1957 dan bersama Sabah dan Sarawak membentuk negara Malaysia pada 16hb September 1963. Negara Malaysia telah melalui proses suka duka. Pada tahun 1941, British telah gagal mempertahankan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dan membiarkan orang Melayu dan Bumiputera mengalami kesusahan pada zaman Jepun. Tidak cukup dengan itu, Malayan Union telah dipaksa ke atas orang Melayu sebagai satu denda politik kepada mereka yang dikatakan bersubahat dengan Jepun. Orang Melayu yang longlai, bingkas bangun bersatu menumbangkan Malayan Union yang dianggap menghilangkan identiti Melayu sebagai pemilik Tanah Melayu. Perjanjian Tanah Melayu 1948 telah mengubah corak politik dan memulakan proses pembinaan negara-bangsa Persekutuan. Perkongsian kuasa bermula dengan pemberian kewarganegaraan. Pembinaan negara-bangsa Malaysia terus melangkah kehadapan melalui penggabungan tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963.
Selepas pembentukan Persekutuan Malaysia, yang menjadi masalah untuk kita membina negara-bangsa adalah merupakan kesan daripada penjajahan iaitu berlandaskan kepada dasar pemisahan kaum yang diamalkan oleh penjajah British yang lebih dikenali sebagai “dasar pecah perintah”. Akibat daripada itu, terwujudnya jarak sosial serta segregasi antara kaum yang telah menyulitkan langkah untuk mewujudkan perpaduan.

Masalah perpaduan ini mencapai klimaksnya, apabila terjadi peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 iaitu selepas enam tahun pembentukan Malaysia. Keadaan darurat akibat perbalahan antara kaum itu, telah menjejaskan pembangunan dan kesejahteraan negara kita yang baru dibina pada masa itu. Ini jelas mengambarkan perpaduan merupakan isu yang penting bagi memulakan proses pembinaan negara-bangsa oleh sesebuah negara yang baru merdeka dan berdaulat. Tanpa perpaduan, urusan pentadbiran akan menjadi lemah dan seterusnya menjuruskan kepada perkara-perkara yang boleh mengugat dan melumpuhkan kembali kedaulatannya.

Perpaduan menurut Asnarulkhadi dan Jayum (1997), merupakan langkah pertama dimana pada peringkat ini penyatuan masyarakat pelbagai ras atau etnik boleh dicapai apabila wujud satu keinginan untuk bersatu secara fizikal (ruang- iaitu berada pada tempat yang sama tanpa bergaduh) dan mental (pemikiran- iaitu bersetuju tentang suatu matlamat). Kesimpulan daripada itu, Asnarulkhadi dan Jayum (1997) menyimpulkan pada masa kini bahawa Malaysia telah jelas melalui tingkat pertama (perpaduan) dengan cemerlang. Perpaduan yang dimaksudkan, dilihat melalui kejayaan kerjasama dalam banyak bidang terutama sekali dari pakatan politik dalam Barisan Nasional yang unggul dan juga disokong oleh dasar-dasar ekonomi negara yang mempromosikan perpaduan nasional.

Integrasi pula merupakan langkah kedua yang merupakan penyatuan yang lebih kuat dan sempurna di dalam masyarakat. Ia lebih kepada penyatuan yang lebih lengkap hingga ke tahap sanggup dan bersedia untuk bersatu dari segi biologikal seperti kahwin campur. Integrasi ini akan dapat membantu proses pembinaan negara-bangsa. Maka dengan itu, isu perpaduan dan integrasi sentiasa dititik beratkan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga diperingkat global kerana dua perkara penting ini menjadi asas kepada terbentuknya negara-bangsa.

Berdasarkan pendapat Asnarulkhadi dan Jayum (1997), negara-bangsa itu melebihi makna perpaduan dan integrasi. Malah ia merupakan tingkat teratas antara ketiga-tiga konsep tersebut. Oleh itu negara-bangsa pastinya lebih sukar untuk direalitikan berbanding dengan konsep perpaduan dan integrasi.

Perbincangan seterusnya merangkumi asas dan ciri-ciri dalam membicarakan pembentukan negara-bangsa Malaysia. Abdul Rahman Embong (2001), menyatakan dua fenomena sejarah yang sangat penting untuk diambil kira apabila membincangkan asas pembinaan negara-bangsa Malaysia iaitu; 1) kelahiran dan perkembangan bangsa Melayu dalam sejarah alam Melayu termasuk Tanah Melayu dan 2) kelahiran masyarakat berbilang kaum sejak pertengahan abad ke-19. Ciri-ciri bangsa Malaysia itu harus merangkumi dan mencerminkan kedua-dua ciri pensejarahan ini, yakni kesinambungan sejarah dan masa kini.

Rustam A. Sani (1993: 26) pula mengatakan unsur-unsur penting dalam pembentukan bangsa Malaysia merupakan ciri-ciri kebumiputeraan, peranan bahasa Melayu dan unsur budaya. Tambahnya, unsur budaya perlulah mempunyai satu titik rujukan yang menjadi ciri penentu keperibadiannya, yang membezakannya daripada bangsa-bangsa lain dan dengan itu menjadi daya penyatu didalam negara-bangsa Malaysia.

Bagi membincangkan faktor-faktor mempengaruhi pembinaan negara-bangsa Malaysia pula, Azizi Ismail (1997), membuat kesimpulan bahawa terdapat tiga faktor utama yang mempengaruhi pembinaan negara-bangsa Malaysia iaitu faktor politik, ekonomi, sosial. Dua penulis lain juga bersetuju untuk meletakkan tiga faktor itu sebagai faktor utama iaitu Jayum (1997), Ranjit Singh (1995). Kajian ini akan menerima dan mengadaptasikan ketiga-tiga faktor utama ini di dalam menghuraikan persepsi-persepsi mahasiswa terhadap konsep pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Secara umumnya, pengkaji-pengkaji lepas bersetuju meletakkan penggabungan parti politik melalui Parti Perikatan dan Barisan Nasional sebagai faktor politik yang mampu memberi kesan positif yang besar kepada agenda pembinaan negara-bangsa Malaysia. Azizi Ismail (1997), menjelaskan bahawa penggabungan parti politik ini yang meliputi wakil-wakil hampir keseluruhan etnik dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak membuktikan pemimpin semua kaum yang ada di dalam Malaysia mempunyai hasrat untuk mewujudkan keadaan harmoni dan jauh dari perasaan syak wasangka dengan harapan akan lahirlah negara-bangsa Malaysia. Abu Hassan Othman (1997) menyatakan melalui penggabungan ini, segala isu dan masalah yang berkaitan dengan etnik masing-masing dapat diselesaikan melalui perundingan dan konsensus. Prinsip rundingan, tolak ansur dan konsensus ini telah memberikan kestabilan politik serta pembangunan ekonomi yang pesat.

Asnarulkhadi dan Jayum (1997), juga menyatakan bahawa di dalam bidang politik, muafakat boleh terus dipupuk sebagai ciri atau asas negara-bangsa. Ini adalah bidang yang sudah berjaya digunakan sejak kemerdekaan negara dan ia merupakan bidang yang tidak dapat dipersoalkan oleh mana-mana pihak berpandangan sempit. Fauzi Basri (1997), pula menjelaskan tentang isu-isu dalam faktor politik yang lain iaitu hak mengikut perlembagaan yang memelihara dan melindungi hak semua warganegara Malaysia tanpa diskriminasi, perwakilan pengundi dalam kawasan pilihan raya, perwakilan dalam kabinet dan penyertaan dalam Perkhidmatan Awam. Isu-isu ini menjadi faktor yang mempercepatkan wujudnya bangsa Malaysia jika ditangani sebaik mungkin dan boleh menjadi sebaliknya jika tidak diselesaikan.

Melalui perspektif ekonomi pula, Azizi Ismail (1997) menjelaskan dengan adanya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah dilaksanakan berjaya mengurangkan pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi dan secara tidak langsung menguatkan lagi hubungan perpaduan sesama kaum yang ada dan membuktikan faktor ekonomi sememangnya mempengaruhi proses pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Abu Hassan Othman (1997) pula menyatakan walaupun DEB merupakan program afirmatif yakni membantu pembangunan bumiputera, namun bukan bumiputera juga turut mendapat faedah hasil daripada perlaksanaan projek-projek pembangunan menerusi dasar ini. DEB telah membawa perubahan signifikan dalam penyusunan semula masyarakat Malaysia. Namun begitu Dasar Ekonomi Baru juga tidak dapat lari daripada kelemahannya apabila mendapat sedikit sebanyak penentangan daripada orang bukan Melayu. Menurut Hasmadi (1997), masyarakat bukan Melayu terutamanya orang Cina tidak menentang dasar tersebut, tetapi lebih kepada cara dasar itu dilaksanakan. Mereka merasakan telah dinafikan haknya sebagai rakyat kerana dasar ini mengutamakan Melayu dan kaum bumiputera dalam soal ekonomi dan pendidikan

Dari sudut sosial pula, Azizi Ismail (1997) menyatakan terdapat empat unsur penting yang mempengaruhi pembentukkan negara-bangsa Malaysia iaitu Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan. Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 antara lain bercita-cita melahirkan masyarakat Malaysia yang bersikap terbuka terhadap pelbagai cara hidup rakyat pelbagai keturunan.

Dasar Pendidikan Kebangsaan 1961 pula digubal dengan matlamat utamanya ialah untuk mewujudkan persefahaman dan perpaduan dikalangan rakyat. Ahmad Atory Hussain (1987) bersetuju bahawa satu daripada cara untuk membentuk satu bangsa Malaysia ialah melalui sistem pendidikan. Tambahnya lagi, langkah kerajaan hendak mengadakan sekolah satu bumbung, tiga kaum berada pada satu bumbung dan pada satu padang permainan adalah sangat-sangat dialu-alukan. Satu perkembangan positif dalam pendidikan merupakan matlamat yang ditetapkan oleh pemerintah untuk menambah bilangan pelajar tingkat tinggi daripada 17.4 peratus daripda kelompok umur 18-22 tahun yang terdapat pada hari ini kepada 40 peratus menjelang 2020, yakni satu peningkatan sebanyak empat kali ganda dalam lebih dua dasawarsa ini.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan juga merupakan isu penting dalam mewujudkan negara-bangsa Malaysia. Kebudayaan kebangsaan merujuk kepada kebudayaan negara yang rasmi dan bersifat formal tetapi merentasi batasan etnik (Ahmat Adam, 1997). Ini beerti dalam konteks Malaysia, ia bersifat sepunya dan rasmi bagi semua kaum dan mencerminkan kemalaysiaannya. Dasar ini diwujudkan bertujuan merapatkan jurang perbezaan pelbagai kaum di negara ini agar semua rakyat dapat bersatu padu bagi membolehkan negara ini muncul dengan identitinya tersendiri. Abu Hassan (1997), menyatakan bahawa amalan aktiviti budaya yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum pasti akan dapat menyumbang kepada pembinaan negara-bangsa. Ini menunjukkan peripentingnya isu-isu budaya ditangani sebaik mungkin supaya ianya mempercepatkan kewujudan bangsa Malaysia.

Bagi mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah satu bahasa kebangsaan amatlah diperlukan. Maka bahasa kebangsaan diwujudkan dengan panggilan bahasa Malaysia. Isu-isu mengenai bahasa kebangsaan ini merupakan faktor yang dianggap penting oleh pengkaji-pengkaji lepas mengenai pembinaan negara-bangsa Malaysia. Azizi Ismail (1997), menyatakan Bahasa Malaysia sebenarnya unsur dominan yang boleh menyatupadukan semua kaum dan bangsa di Malaysia.

Fauzi Basri (1997) pula menyatakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah satu pilihan bijak dan mampu serta terbukti menjadi alat perpaduan. Oleh itu jelaslah bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa sepunya ini merupakan satu unsur utama dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia. Penggunaan dan penguasaan bahasa Malaysia secara meluas akan berperanan sebagai wahana pembentukan identiti kebangsaan.

Setelah membincangkan mengenai faktor-faktor pembinaan negara-bangsa Malaysia, perbincangan seterusnya pula melibatkan masalah-masalah yang dihadapi dalam membentuk negara-bangsa Malaysia. Dalam konteks ini, Abu Hassan (1997) menyatakan lima faktor-faktor penghalang dalam proses pembinaan negara-bangsa Malaysia iaitu; 1) pemisahan ras dan etnik; 2) pemisahan wilayah; 3) parti-parti politik berteraskan etnik; 4) nilai parokialisma dan sikap prejudis; serta 5) permasalahan sosial.

Pemisahan ras dan etnik ini dilihat melalui pemisahan sosial yang masih wujud disebabkan oleh perbezaan budaya, agama, bahasa, pengaruh media-massa, pendidikan, penglibatan organisasi sosial yang bersifat perkauman atau pertubuhan perniagaan dan sebagainya yang bersifat eksklusif untuk sesautu kumpulan etnik atau sub-etnik. Ini pastinya akan memperkukuhkan sentimen nilai etnik dan kesukuan. Malah, identiti etnik masih merupakan asas untuk pendaftaran formal dan sebagainya.

Pemisahan wilayah pula dilihat diantara yang maju dan kurang maju. Identifikasi melalui bandar yang didiami oleh kaum bukan bumiputera yang lebih maju dan luar bandar yang didiami oleh bumiputera yang kurang maju masih lagi wujud. Beberapa negeri juga seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Perlis, Sabah dan Sarawak masih menampakkan gejala kadar kemiskinan yang tinggi.

Parti-parti politik yang berteraskan kumpulan etnik memang wujud dan setiap parti politik dipersepsikan sebagai menjaga kepentingan kumpulan etnik masing-masing. Walaupun secara amnya parti-parti ini bergabung, namun sering juga muncul konflik dikalangan parti-parti komponen yang mungkin mengugat kestabilan politik dan hubungan antara kaum.
Seterusnya salah satu fenomena yang sering menjadi penghalang kepada proses pembinaan negara-bangsa Malaysia ialah wujud nilai-nilai parokialisma, sikap prejudis dan curiga dikalangan ahli masyarakat. Sikap prejudis wilayah masih menjadi perintang kepada pembinaan semangat persefahaman dan perpaduan dikalangan penduduk Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Permasalahan sosial juga memberi kesan kepada pembinaan negara-bangsa yang jika tidak dibendung pastinya membebankan negara serta memberi kesan negatif kepada pembinaan bangsa Malaysia yang progresif, dinamik dan bermoral. Permasalahan sosial itu adalah seperti penduduk setinggan, pendatang asing, penjenayahan, pengambilan dadah, penderaan dan sebagainya.


2.5 Rumusan

Rustam A. Sani (1993) menyatakan Malaysia sesungguhnya merupakan a nation without nationalism. Ini bermakna kita masih belum berjaya merealisasikan sebuah bangsa yang mempunyai ideologi yang unggul. Dalam erti kata mudah, proses mewujudkan semangat kenegaraan atau perasaan kekitaan dikalangan semua penduduk Malaysia masih belum lagi sempurna sepenuhnya. Dan pada pengamatan pengkaji, jika proses ini mencapai satu tahap yang tinggi barulah terwujudnya nasionalisme Malaysia yang sejati. Sekaligus matlamat membina negara-bangsa itu pastinya tercapai.
Namun, tahap pencapaian Malaysia pada masa kini untuk menjadi negara-bangsa sebenarnya adalah dalam keadaan yang baik. Perubahan cara hidup antara kaum kian nyata dan lebih baik jika dibandingkan sebelum 13hb Mei 1969. Jika kaum muda tidak diracuni dengan unsur-unsur perkauman, sebaliknya diyakini tentang nilai bersama yang dapat memupuk perpaduan, proses pembinaan negara-bangsa Malaysia akan lebih segera terlaksana.

Oleh yang demikian, untuk membina negara-bangsa Malaysia yang unggul, strategi pembangunan negara yang difokuskan kepada pembangunan manusia yang bersepadu, iaitu menggabungkan pembinaan potensi, spiritual, intelektual dan jasmani di samping pembangunan ekonomi dan kebendaan dilihat perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Dengan itu negara akan mencapai tahap kemajuan yang berperadaban tinggi dan pembinaan negara-bangsa yang bersepadu berlandaskan acuannya yang tersendiri akan terlaksana.









BAB 3
METODOLOGI KAJIAN


Metodologi kajian atau kaedah penyelidikan kajian ini, sebenarnya dapatlah dibahagikan kepada dua bentuk iaitu 1) penyelidikan perpustakaan dan 2) melibatkan survei melalui pengedaran borang soal selidik.

3.1 Penyelidikan perpustakaan

Konsep negara-bangsa merupakan satu konsep baru yang dibincangkan di Malaysia. Oleh itu pengkaji telah membuat penyelidikan perpustakaan untuk menguasai konsep ini. Data-data untuk penyelidikan perpustakaan ini datangnya daripada buku-buku hasil tulisan pengkaji-pengkaji dan sarjana-sarjana terdahulu yang berkaitan dengan tajuk kajian. Data-data juga diperolehi dari jurnal-jurnal, artikel-artikel dari majalah dan suratkhabar yang relevan dan sesuai dengan tajuk kajian. Data-data ini diolah dan diadaptasi, namun keaslian dari sumber pengkaji dan penulis asalnya adalah amat dititik beratkan.

Langkah pertama yang digunakan oleh pengkaji ialah dengan mendapatkan data dari sumber di perpustakaan tentang konsep negara-bangsa secara am. Setiap perkara yang berkaitan negara-bangsa, walaupun tidak mengenai negara Malaysia diteliti untuk menguasai konsep asas negara-bangsa dan definisi-definisinya.
Langkah kedua, pengkaji berusaha untuk mencari data-data berkaitan pembinaan negara-bangsa di Malaysia. Hakikatnya, data-data tentang negara-bangsa di Malaysia ini amatlah kurang berbanding kajian di luar Malaysia. Kebanyakkan kajian adalah banyak tertumpu kepada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan negara-negara di Eropah. Untuk mengatasi kebuntuan dan kesukaran ini, pengkaji terpaksa juga menelaah dan mencari apa sahaja maklumat yang berkaitan dengan sistem ekonomi, politik dan sosial Malaysia. Data-data yang diperolehi diolah dan diadaptasi supaya selaras dengan tajuk kajian. Langkah seterusnya, barulah pengkaji membentuk borang soal selidik untuk mendapat data-data melibatkan survei dikalangan mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, Serdang.


3.2 Pengedaran Borang Selidik

Selepas membuat penyelidikan perpustakaan, pengkaji menjalankan kaedah kedua iaitu untuk mendapatkan data-data daripada pengedaran borang soal selidik. Perkara-perkara bagi kaedah tersebut adalah seperti berikut:

3.2.1 Lokasi kajian

Kajian ini telah dijalankan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Sepuluh buah fakulti di UPM telah terlibat, yang mana 3 buah fakulti merupakan fakulti sastera iaitu Fakulti Pendidikan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi manakala tujuh buah fakulti lagi merupakan fakulti sains iaitu Fakulti Sains Perubatan, Fakulti Sains Komputer, Fakulti Sains dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, Fakulti Ekologi Manusia, Fakulti Perhutanan dan Fakulti Pertanian.

3.2.2 Persampelan

Sampel kajian ini terdiri daripada 100 orang mahasiswa dan menggunakan kaedah persampelan rawak mudah iaitu secara ‘Convenience’. Responden telah dipilih oleh pengkaji secara rawak tanpa mengira latarbelakang responden dan tanpa mengira perkaitan atau hubungan responden dengan pengkaji seperti kawan dan sebagainya. Responden yang terpilih mempunyai latarbelakang yang berbeza antara mereka bagi mewujudkan kebolehpercayaan sampel.

3.2.3 Rekabentuk dan Instrumentasi


Kajian yang dijalankan ini merupakan kajian penyelidikan campuran yang melibatkan survei melalui pengedaran borang soal selidik. Satu set borang soal selidik digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai persepsi mahasiswa terhadap proses pembinaan negara-bangsa Malaysia bagi menjawab objektif kajian. Soalan-soalan yang dibentuk adalah berbentuk aneka pilihan. Borang soal selidik yang dibentuk adalah hasil perbincangan dengan penyelia kajian ini. Soalan didalam borang soal selidik merangkumi kepada lima bahagian :

1. Bahagian A
Soalan berkaitan latarbelakang seperti :
a) Umur b) Tahun pengajian
c) Program pengajian d) Jantina
e) Aliran pengajian f) Tempat asal
g) Kaum

2. Bahagian B
Pendedahan mahasiswa terhadap proses pembinaan negara-bangsa Malaysia.
Soalan-soalan adalah berbentuk Skala Likert.

3. Bahagian C
Persepsi mahasiswa terhadap faktor-faktor utama dalam proses pembinaan negara-bangsa Malaysia. Soalan-soalan adalah berbentuk Skala Likert

4. Bahagian D
Persepsi mahasiswa terhadap isu-isu semasa dan perkara berkaitan dalam proses pembinaan negara-bangsa Malaysia. Soalan-soalan adalah berbentuk Skala Likert

5. Bahagian E
Persepsi mahasiswa terhadap ciri-ciri asas dalam pembentukan negara-bangsa Malaysia. Soalan-soalan adalah berbentuk Skala Likert


3.2.4 Pembolehubah


Pembolehubah bersandar bagi kajian ini adalah persepsi-persepsi daripada responden terhadap proses pembinaan negara-bangsa Malaysia. Manakala pembolehubah tidak bersandar yang terpilih dalam kajian ini adalah ciri-ciri latarbelakang seperti jantina, tempat asal, keturunan dan agama.

3.2.5 Pengumpulan Data

Pengumpulan data melalui borang soal selidik ini telah dipra-uji terlebih dahulu ke atas beberapa orang mahasiswa di UPM bagi menentukan kesesuaian dan mudah difahami serta menepati objektif kajian. Pengumpulan data ini telah dilaksanakan pada minggu ketiga dan kempat semester Mei 2002 ini. Ianya telah dibantu oleh beberapa orang rakan pengkaji bagi mengedarkan borang soal selidik.

3.2.6 Analisis data

Data yang diperolehi daripada borang selidik di analisis dengan menggunakan program “ Statistical Package For The Social Science” (SPSS for Windows, Version 11.0). Hasil kajian dipersembahkan dalam bentuk statistik diskriptif iaitu dalam bentuk kekerapan dan peratus dan selain daripada menggunakan kaedah Crosstab (peratus, min, mod dan median) untuk menjelaskan antara pembolehubah yang dikaji.

Bab 4
maklumat lanjut
sila email: schumirossi01@yahoo.com

BAB 5

RUMUSAN KAJIAN DAN CADANGAN


Bab ini akan membentangkan kesimpulan kajian iaitu mencakupi hasil kajian dan kaitannya serta kepentingan kepada proses pembinaan negara-bangsa Malaysia. Berdasarkan daripada penemuan kajian juga, beberapa cadangan dikemukakan agar dapat memberi manfaat kepada perkembangan dan proses pembinaan negara-bangsa Malaysia serta panduan kepada pengkaji-pengkaji akan datang.



RUMUSAN KAJIAN



Kajian ini adalah bertujuan untuk menghuraikan persepsi-persepsi mahasiswa terhadap proses di dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia. Daripada keseluruhan analisis kajian, pengkaji merumuskan terdapat dua elemen iaitu elemen positif dan elemen negatif. Elemen positif yang dimaksudkan disini ialah dapatan kajian yang dikenalpasti sebagai boleh mempengaruhi dan membantu mempercepat proses pembinaan negara-bangsa Malaysia. Manakala elemen negatif pula merupakan dapatan kajian yang dikenalpasti sebagai kelemahan dan mampu membantutkan proses kewujudan negara-bangsa Malaysia jika tidak dilakukan tindakan susulan.



Elemen-elemen positif daripada hasil kajian

Secara amnya, kajian ini mendapati bahawa sudah ada pendedahan yang cuba diberikan kepada mahasiswa di UPM. Salah satu kemungkinan mengenai pendedahan ini dikenalpasti (seperti di dalam bab hasil kajian) melalui kursus Kenegaraan Malaysia yang memasukkan konsep negara-bangsa Malaysia ke dalam isi kandungannya dan diwajibkan kepada semua mahasiswa di UPM untuk mengikutinya. Hasilnya sebahagian besar mahasiswa yang berada tahun kedua ke atas dikenalpasti telah pernah mendengar atau terbaca perkataan negara-bangsa. Namun keadaan ini berbeza dengan sebahagian besar pelajar semester satu yang masih belum mengikuti kursus ini apabila mereka mengatakan belum pernah terdengar dan terbaca mengenai perkataan negara-bangsa ini.

Walaupun mahasiswa ini berasal dari pelbagai latarbelakang yang berbeza seperti keturunan, agama, wilayah asal, tempat asal dan lain-lain namun sesuatu yang mungkin dapat dibanggakan dalam kajian ini ialah sebahagian besar mereka mempunyai persepsi yang positif terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi pembinaan negara-bangsa Malaysia. Penerimaan positif terhadap faktor-faktor ini adalah amat perlu kerana kesedaran mereka pastinya membantu secara langsung mempercepatkan kewujudan negara-bangsa Malaysia. Pengkaji mengakui masih terdapat segelintir responden yang mempunyai persepsi negatif terhadap faktor-faktor yang digariskan itu, namun perwakilan yang jelas diwakili sebahagian besar responden sudah menampakkan kematangan responden dalam menilai sesuatu perkara berkaitan tanpa menggunakan elemen-elemen yang sempit.
Berdasarkan pendapat Asnarulkhadi dan Jayum (1997), muafakat di dalam bidang politik merupakan satu bidang yang sudah berjaya digunakan untuk mencapai perpaduan dan tidak dapat dipersoalkan oleh mana-mana pihak berpandangan sempit. Oleh itu, kajian ini mendapati majoriti responden bersetuju bahawa muafakat yang dimaksudkan itu (penggabungan parti-parti politik pelbagai kaum) merupakan faktor utama yang telah menjuruskan perpaduan antara kaum. Secara tidak langsung keadaan ini mengambarkan kematangan responden menilai faktor politik ini tanpa elemen sempit seperti politik kepartian, kepercayaaan dan sebagainya.

Analisis data juga mengambarkan keyakinan yang padu daripada mahasiswa bahawa apabila sebahagian besar mahasiswa menegaskan bahawa kewujudan Bangsa Malaysia tidak mustahil untuk dicapai walaupun terdapat perbezaan agama, kebudayaan dan etnik. Selain itu, didapati mahasiswa sedar dan percaya bahawa kadar kemiskinan yang tinggi mampu mengugat perpaduan antara kaum. Persepsi-persepsi seperti ini akan mempengaruhi perasaan, pemikiran dan tindakan mereka supaya menjurus kepada sesuatu yang positif untuk pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Satu unsur dominan dalam menegakkan negara-bangsa yang dicita-citakan adalah peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan ini tidak harus sekadar bersifat simbolis dan pentadbiran tetapi seharusnya berperanan sebagai bahasa perantaraan dalam segala aspek dan peringkat kehidupan sosial dan kehidupan berbangsa di negara ini (Rustam Sani, 1993). Analisis data menunjukkan hampir keseluruhan mahasiswa mengunakan Bahasa Malaysia di dalam kehidupan harian mereka. Bahasa kebangsaan yang digunakan oleh mereka boleh menjadi titik penentu untuk berkongsi identiti nasional yang tersendiri. Kesediaan dan penerimaan untuk menggunakan bahasa kebangsaan ini juga mampu menjadi penghubung yang berkesan dan alat membentuk perpaduan antara kaum yang lebih utuh.

Pembentukan sebuah kebudayaan sepunya yang diasaskan pada nilai-nilai akhlak yang murni dan ketamadunan manusiawi yang sejagat adalah keperluan supaya selaras dengan tujuan membina sebuah negara-bangsa yang beradab dan maju. Kemajmukan rakyat di Malaysia menjadikan pembentukan kebudayaan kebangsaan ini menjadi persoalan yang rumit. Namun dapatan kajian ini mendapati bahawa lebih separuh daripada keseluruhan mahasiswa percaya bahawa sudah terdapat kebudayaan sepunya yang jelas di Malaysia. Persepsi sebegini sekurang-kurangnya dapat mengambarkan keyakinan dikalangan golongan muda bahawa pembentukan satu kebudayaan kebangsaan ini mampu dilaksanakan. Persoalan rumit atau tidak, pembentukan dan pengembangan falsafah sepunya, sebuah kebudayaan sepunya yang kita namakan kebudayaan kebangsaan yang bercirikan Malaysia dan berdiri atas prinsip-prinsip budi, akhlak dan etika hendaklah dilakukan secepat mungkin serta dengan perancangan yang tersusun (Ahmat Adam, 1997).

Salah satu elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara-bangsa ini ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya (Abu Hassan Othman, 1997). Namun sistem persekolahan yang masih terpisah berdasarkan etnik dilihat menghalang integrasi kaum yang lebih utuh daripada tercapai. Oleh itu, pada pemerhatian pengkaji cadangan penubuhan sekolah wawasan atau apa sahaja penubuhan sekolah yang dapat menyatukan tiga kaum utama ini adalah menjadi isu penting dalam pendidikan yang dapat mempercepatkan proses pembinaan negara-bangsa Malaysia jika dapat ditangani sebaik mungkin. Analisis data menunjukkan bahawa majoriti mahasiswa bersetuju perlaksanaan Sekolah Wawasan mampu merapatkan lagi perhubungan antara kaum jika dapat dilaksanakan. Satu lagi penekanan yang perlu diberi perhatian ialah pentingnya pendidikan didedahkan kepada seramai mungkin rakyat kerana melalui pendidikan, pembentukan nilai dan sikap keterbukaan dapat diwujudkan (Abu Hassan Othman, 1997).

Semangat rumah terbuka pula merupakan tatakelakuan yang diterima umum sebagai budaya popular Malaysia dan persepsi positif daripada majoriti mahasiswa bahawa rumah terbuka akan melibatkan pelbagai kaum apabila diadakan mengambarkan proses memantapkan kebudayaan kebangsaan adalah ke arah yang amat positif. Semangat rumah terbuka yang mendapat perhatian dan tempat dalam masyarakat Malaysia pada hari ini mengambarkan permulaan kepada kesetiakawanan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Amalan budaya popular sebegini seharusnya mengenapkan proses memantapkan kebudayaan kebangsaan Malaysia kerana melalui proses ini patriotrisme sempit, mentaliti parokial, mentaliti migran dan mentaliti saudagar dapat diatasi (Dahlan, 1997).

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu dasar yang bertujuan menyusun semula masyarakat supaya tiada lagi etnik tertentu ketinggalan terlalu kebelakang di dalam pembangunan negara. Memanglah diakui DEB ini merupakan program yang membantu pembangunan bumiputera, namun sesuatu dasar yang secara keseluruhannya memberi keuntungan kepada etnik tertentu sahaja akan menimbulkan syak wasangka dan cemburu etnik lainnya sekaligus boleh mencacatkan agenda pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Oleh itu, didapati bahawa perlaksanaan DEB berjaya melahirkan beberapa perkara yang dianggap boleh menyumbang kepada perpaduan negara, namun ia juga telah menegangkan hubungan antara kaum kerana golongan bukan bumiputera merasakan mereka didiskriminasi. Biar pun perasaan ini didorong oleh unsur politik dan emosi, tetapi ia tetap mengeruhkan suasana (Zainal Abidin, 1997). Oleh yang demikian kajian ini cuba meninjau keadaan ini dan mendapati secara amnya bahawa majoriti mahasiswa bersetuju bahawa DEB tidak hanya menguntungkan orang Melayu sahaja. Ini bermakna mahasiswa-mahasiswa berketurunan lain berpendapat bukan bumiputera juga turut mendapat faedah hasil daripada perlaksanaan projek-projek pembangunan menerusi dasar ini.

Kewujudan sesebuah negara-bangsa akan dapat menghindari pengasingan diri (alienation) sesuatu kelompok daripada kelompok dan bangsa yang besar (Asnarulkhadi dan Jayum, 1997). Untuk itu, setiap kaum di Malaysia sepatutnya telah memperolehi hak mereka di dalam politik negara supaya tidak akan lahir perasaan rendah diri dan pengasingan daripada kelompok perdana. Jika terdapat kaum-kaum yang merasakan mereka telah dianiayai dan didiskriminasi daripada mendapat hak politik mereka pastinya keadaan ini akan menjadi faktor penghalang yang besar kepada kewujudan negara-bangsa yang adil dan saksama atau lebih buruk lagi ianya akan menjadi sebab mengapa negara-bangsa itu tidak terbentuk. Di dalam kajian ini terdapat penemuan yang agak positif apabila sebahagian besar mahasiswa berpendapat bahawa setiap kaum telah mendapat haknya di dalam politik tanahair. Pengkaji berpendapat keadaan ini berkemungkinan hasil daripada kejayaan mewakilkan semua kaum ke dalam kerjasama dan kompromi politik negara seperti yang terdapat pada hari ini.

Satu lagi elemen positif yang berkemungkinan dapat dimanfaatkan kepada perkembangan pembinaan negara-bangsa Malaysia ialah keadaan dimana majoriti mahasiswa berpendapat bahawa kerjasama dan kompromi melalui penggabungan parti politik pelbagai kaum ke dalam satu parti politik merupakan pilihan terbaik dan haruslah dikekalkan sebagai salah satu cara untuk mencapai hasrat mewujudkan satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Sentimen kenegerian yang ekstrim di dalam politik akan menghalang perpaduan dan potensi untuk berdaya saing namun majoriti mahasiswa berpendapat parti-parti politik di Malaysia sudah tidak lagi ketara mengemukakan sentimen kenegerian di dalam agenda politik mereka. Berdasarkan pendapat mahasiswa ini bermakna negara kita sudah dapat menyelesaikan satu halangan politik untuk mempercepatkan kewujudan negara-bangsa.


Elemen-elemen negatif daripada hasil kajian

Selepas diselidik secara keseluruhan kajian ini menggangap bahawa pendedahan yang diperolehi oleh mahasiwa di UPM terhadap konsep negara-bangsa Malaysia adalah masih kurang dan tidak secara berkesan. Pendedahan yang mereka terima adalah kurang berbanding pendedahan yang mereka terima untuk konsep perpaduan. Walaupun perpaduan dapat dibentuk sebagai pembinaan negara-bangsa itu sendiri namun pendedahan kepada konsep negara-bangsa secara langsung akan menghasilkan kesedaran dan penghayatan bahawa rakyat negara ini bukan sahaja bermatlamat untuk mencapai perpaduan tetapi lebih daripada itu iaitu untuk mencapai tahap negara-bangsa.

Rasional kepada anggapan ini adalah seperti berikut 1) masih ada segolongan mahasiswa tidak pernah mendengar atau tidak pernah terbaca perkataan ‘negara-bangsa’ 2) tidak terdapat majoriti besar mahasiswa yang mempersepsikan mereka faham dengan konsep negara-bangsa dan 3) masih terdapat banyak perbezaan persepsi yang ketara dalam melihat aspek-aspek tertentu proses pembinaan negara-bangsa Malaysia; bermakna masih terdapat elemen-elemen sempit dikalangan mereka.

Walaupun keseluruhan mahasiswa disimpulkan sebagai positif terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi negara-bangsa namun masih terdapat sejumlah mahasiswa yang bolehlah dianggap besar telah tidak bersetuju dan kurang bersetuju bahawa sistem pendidikan negara dan perlaksanaan DEB telah membentuk perpaduan dan memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Golongan ini berkemungkinan berpendapat sedemikian kerana mungkin terdapat unsur-unsur yang berada di dalam dua faktor ini dilihat tidak tepat dan tidak berapa berkesan. Contohnya dalam sistem pendidikan negara perbincangan mengenai alternatif untuk menggabungkan sekolah-sekolah berdasarkan etnik ke dalam satu sekolah yang lebih berintegrasi dan mengurangkan polarisasi kaum di institusi pengajian tinggi masih menjadi isu dan perbahasan yang hangat ketika ini.

Pada pemerhatian pengkaji berdasarkan pendapat Jayum A. Jawan (1997), perkahwinan campur tidak semestinya akan membawa kepada kelahiran penyatuan pada peringkat negara-bangsa namun perkahwinan campur ini dapat merobohkan benteng pemisahan antara ras dan etnik, sekaligus mampu membantu ke arah mempercepatkan proses pembentukan negara-bangsa Malaysia. Namun penemuan kajian ini mendapati bahawa sebahagian besar mahasiswa berpendapat rakyat Malaysia adalah masih tidak bersedia untuk perkahwinan campur.

Sejumlah besar iaitu hampir separuh daripada keseluruhan responden kurang bersetuju dan tidak setuju dengan pendapat bahawa setiap kaum telah mendapat hak sepatutnya di dalam pembangunan ekonomi negara. Jika persepsi ini digunapakai bermakna masih terdapat kecacatan ketara di dalam pengagihan ekonomi negara sehingga menimbulkan perasaan tidak puashati dikalangan mereka atau golongan mahasiswa ini menggunakan elemen sempit dalam menilai hak yang sepatutnya diberikan kepada setiap kaum di dalam pembangunan ekonomi negara. Apa pun keputusannya, setiap kaum hendaklah dipastikan berjaya secara adil menyertai institusi ekonomi utama negara supaya tidak lahir kelompok atau etnik yang ketara ketinggalannya dalam pembangunan ekonomi negara sehinggakan membantut usaha melahirkan negara-bangsa Malaysia.

Selepas merdeka, keadaan ekonomi rakyat Malaysia pada masa itu adalah diidentifikasikan dengan sesuatu kumpulan etnik. Lalu keadaan ini menimbulkan syak wasangka dan cemburu dari etnik-etnik lain, sekaligus mengugat keamanan negara seperti peristiwa berdarah 13 Mei. Selepas perlaksanaan DEB persepsi begini adalah diharap turut berubah. Namun daripada analisis data, didapati hampir separuh mahasiswa masih berpendapat bahawa ekonomi negara dikuasai oleh kaum Cina. Sebahagian besar mahasiswa Melayu didapati bersetuju dengan kenyataan ini.

Namun keadaan ini tidaklah dapat mengambarkan tiada kesan positif daripada perlaksanaan DEB ini. Diakui selepas berakhirnya DEB, pembangunan kaum-kaum bumiputera adalah ditahap yang amat baik berbanding keadaan sebelum perlaksanaannya. Kesinambungan dasar selepas DEB ini dilihat mampu untuk menghapuskan identifikasi sesuatu kumpulan etnik menguasai ekonomi sekaligus mempercepatkan negara-bangsa yang adil pembahagian ekonominya.

Walaupun Malaysia sedang pesat membangun dan kemajuan kebendaan telah mencapai tahap yang baik, namun pemisahan wilayah diantara yang maju dan kurang maju masih merupakan fenomena yang ketara dalam pembangunan negara (Abu Hassan,1997). Pemisahan wilayah ini mampu menjadi faktor penghalang yang utama kepada hasrat pembinaan negara-bangsa Malaysia. Di dalam kajian ini, mahasiswa sebahagian besarnya berpendapat bahawa 1) pembangunan luar bandar dan bandar tidak seimbang dan perbezaannya amat ketara, 2) pembangunan diantara Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah adalah kurang adil dan tidak saksama serta 3) masih terdapat beberapa buah negeri yang mundur dan menampakkan kadar kemiskinan yang tinggi. Pada pendapat pengkaji, walaupun ia sekadar pandangan daripada responden yang kebenaran hakikinya tidak dapat disahkan namun keadaan ini dapatlah mengambarkan sedikit sebanyak tentang kelemahan yang kita miliki yang harus ditangani segera supaya cabaran pertama di dalam kertas kerja Wawasan 2020 dapat dicapai dengan sempurna sifatnya.

Berdasarkan pendapat sebahagian besar mahasiswa ini juga maka pelan strategi pembangunan negara perlu memberi peluang pembangunan ekonomi dan sosial yang lebih ketara kepada wilayah-wilayah tersebut supaya kadar kemiskinan relatif dan mutlak dapat dibasmi dan disetarakan. Pada pendapat pengkaji pemisahan wilayah antara yang maju dan kurang maju di Malaysia bukanlah ditahap yang membimbangkan seperti yang terdapat dibeberapa negara di Asia Tenggara yang menjurus kepada gerakan-gerakan pemisahan namun ia tetap memerlukan tindakan susulan yang segera.

Isu-isu yang diperhatikan dalam sistem politik tanah air adalah kecenderungan pemimpin-pemimpin parti untuk mengemukakan sentimen-sentimen yang berbau perkauman, keagamaan dan kenegerian dalam usahanya untuk mendapatkan sokongan (Masidi Manjun,1997). Penggunaan sentimen perkauman dan keagamaan untuk mendapat sokongan adalah tidak sihat dan akan menyemarakkan elemen-elemen sempit seperti etnik dan kepercayaan. Penemuan kajian mendapati segolongan besar mahasiswa berpendapat bahawa parti-parti politik di Malaysia masih ketara mengemukakan sentimen berbau perkauman dan keagamaan di dalam ideologi politik mereka.

Persepsi mahasiswa ini mengambarkan masih terdapat halangan politik yang besar bukan sahaja bagi mewujudkan perpaduan malah jauh sekali dari mewujudkan sebuah negara-bangsa Malaysia. Keadaan ini diperkukuhkan lagi apabila sebahagian besar mahasiswa berpendapat parti-parti politik berteraskan etnik dimana setiap parti politik dipersepsikan sebagai menjaga kepentingan etnik-etnik masing-masing merupakan penghalang kepada perpaduan dan integrasi kaum yang lebih utuh daripada terbentuk.

Di dalam analisis berdasarkan keturunan di bahagian hasil kajian mendapati masih ada perbezaan persepsi dan ada diantaranya membabitkan perbezaan yang amat ketara dikalangan mahasiswa. Salah satu contohnya, segolongan besar mahasiswa berketurunan Cina berpendapat bahawa keturunan mereka tidak menguasai ekonomi negara tetapi berbeza pendapat dengan mahasiswa Melayu apabila sebahagian besar berpendapat kuasa ekonomi berada ditangan orang Cina. Jadi dimanakah kebenarannya ? Atau masih terdapat sikap prejudis dan curiga yang tebal dikalangan mereka. Jika terdapat sikap prejudis dan curiga dikalangan mahasiswa dan ianya tidak dapat dibasmi, pastinya mereka tidak dapat menunjukkan sikap penerimaan yang lebih terbuka dan tidak akan terbina jambatan penghubung dan sikap saling mempercayai diantara mereka. Akhirnya akan menamatkan peluang untuk membina negara-bangsa yang kukuh sifatnya.
Paduan kesinambungan sejarah dan kekinian amat penting untuk menyediakan wadah bagi pembinaan masa depan bangsa Malaysia (Abd. Rahman Embong, 2001). Ini bermakna dalam menentukan ciri rupa negara-bangsa yang ingin dibentuk kesinambungan sejarah dan keadaan pada masa kini hendaklah dijadikan asas untuk pembentukannya. Oleh itu, analisis berkaitan ciri-ciri asas di dalam negara-bangsa Malaysia dibentuk dengan tujuan untuk mendapatkan pendapat mahasiswa terhadap sifat-sifat negara-bangsa yang ingin dibentuk.

Walaupun tidak ketara, ternyata wujud perbezaan falsafah dalam menentukan rupa bangsa negara yang diingini dikalangan responden. Secara amnya, perbezaan persepsi ini terbentuk adalah berdasarkan faktor keturunan. Daripada empat ciri asas yang cuba digariskan oleh pengkaji hanya terdapat dua ciri yang mempunyai lebihan pendapat (lebih daripada separuh jumlah responden) itu pun hanya sedikit iaitu sebanyak 1% dan 3%. Dua ciri tersebut ialah peranan, penggunaan dan penguasaan Bahasa Malaysia yang meluas dikalangan warga negara-bangsa Malaysia dan kebudayaan bangsa Malaysia yang diteraskan dengan kebudayaan rakyat asal.

Berdasarkan rumusan kajian diatas, dapatlah disimpulkan terdapat persepsi-persepsi daripada mahasiswa yang mengambarkan kesediaan mereka untuk membantu mempercepatkan proses pembinaan negara-bangsa Malaysia. Namun terdapat juga daripada persepsi mereka yang memerlukan tindakan susulan supaya ianya menjadi berkeadaan lebih baik. Daripada pandangan-pandangan mereka terhadap hal-hal berkaitan politik, ekonomi dan sosial negara terdapat keadaan yang mengambarkan kesediaan negara ini untuk mencapai tahap negara-bangsa namun banyak juga pandangan-pandangan yang sebaliknya. Dalam proses mempercepatkan kewujudan negara-bangsa Malaysia, kelebihan yang kita ada digunakan sebaik mungkin dan kelemahan kita punyai diperbaiki secepat mungkin.



CADANGAN

Bahagian ini akan mengemukakan cadangan-cadangan dan saranan berdasarkan daripada penemuan kajian agar dapat memberi manfaat kepada perkembangan dan proses pembinaan negara-bangsa Malaysia serta panduan kepada pengkaji-pengkaji akan datang.

Cadangan Umum

Berdasarkan penemuan kajian terdapat lima cadangan umum yang ingin dibentang dan dibincangkan. Pertama, sudah sampai masanya matlamat mewujudkan negara-bangsa Malaysia ini diletakkan sebagai dasar utama negara. Walaupun kajian ini hanya dilakukan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sahaja namun cadangan ini dilihat perlu berdasarkan rasional bahawa dengan meletakkan matlamat mencapai negara-bangsa sebagai dasar negara, ianya bukan sahaja memberitahu kepada semua lapisan masyarakat Malaysia tetapi juga kepada generasi muda di universiti-universiti bahawa negara bukan setakat ingin mencapai perpaduan dan keharmonian di antara rakyat tetapi ada matlamat yang lebih tinggi daripada itu iaitu mencapai tahap negara-bangsa Malaysia.

Dengan cara ini pastinya masyarakat umum akan memperolehi maklumat, kesedaran dan penghayatan yang lebih bermakna sekaligus turut memberi kesan kepada golongan cerdik pandai di universiti yang akan mewarisi negara kita. Dicadangkan supaya matlamat muwujudkan negara-bangsa ini dijadikan dasar utama negara kerana dengan keadaan itu barulah perancangan dan perlaksanaan yang lebih pro-aktif dapat dilaksanakan dan tidak hanya sekadar perbahasan tanpa tindakan.

Keduanya, bagi memastikan pemisahan wilayah antara kawasan yang maju dan kurang maju dapat dirapatkan adalah dicadangkan supaya pelan strategi pembangunan negara memberi peluang yang lebih ketara kepada pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah-wilayah yang kurang maju. Oleh itu, program-program yang telah dan akan dilaksanakan untuk pembangunan di kawasan kurang maju ini hendaklah dipastikan sampai kekelompok sasaran secara langsung tanpa ada halangan ‘orang tengah’ yang terlalu ketara. Selain itu, penerusan program pembasmian kemiskinan dikawasan yang kurang maju dan mundur ini perlu diperhebatkan dengan lebih giat terutamanya dalam meningkatkan kemudahan infrasruktur dan kemudahan asas supaya perlaksanaan pelbagai rancangan pembangunan lain dapat dilaksanakan. Ini bermakna pembangunan kawasan kurang maju haruslah diberi penekanan sepenuhnya kerana pemisahan wilayah yang keterlaluan menjadi faktor penghalang kepada pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Ketiga, penubuhan sekolah-sekolah yang boleh menghasil integrasi kaum yang lebih padu seperti Sekolah Wawasan haruslah dilaksanakan secepat mungkin supaya masalah polarisasi kaum dapat dikurangkan terutamanya di institusi pengajian tinggi. Oleh itu, semua kaum terutamanya mereka yang datang daripada golongan politik dan pendidikan hendaklah sama-sama berbincang secara rasional dan mencari kesepakatan dalam menentukan ciri-ciri sekolah yang akan dibentuk supaya dapat memuaskan hati semua pihak.

Janganlah suatu hari nanti perjuangan melampau golongan hari ini dalam mempertahankan ciri-ciri dan budaya etnik masing-masing menjadi alasan kepada tidak terwujudnya negara-bangsa Malaysia kerana sudah ternyata kepentingan kewujudan negara-bangsa bukan sahaja lebih penting kepada negara tetapi mampu menjamin kehidupan yang lebih baik untuk semua etnik dinegara ini.

Keempatnya, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat bagi menjamin tidak ada parti-parti politik yang ketara mengemukakan sentimen perkauman dan keagamaan sehinggakan menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia. Pembendungan gejala ini adalah perlu dilaksanakan segera supaya penggunaan sentimen sempit ini tidak terus berleluasa sehingga tidak dapat ditangani dan memberi kesan buruk kepada kestabilan negara.

Kelimanya, Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), media massa dan lain-lain yang terlibat haruslah mempergiatkan fungsinya dengan lebih berkesan supaya dapat memastikan bahasa kebangsaan digunakan secara meluas dikalangan masyarakat dan dapat dijadikan satu identiti nasional yang boleh dibanggakan oleh semua warga Malaysia. Oleh itu, penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan di agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti di majlis-majlis rasmi negara, seminar-seminar, media massa dan lain-lain haruslah dilaksanakan. Dalam hasrat membina jatidiri yang berwajah Malaysia di dalam dunia yang serba moden ini, sama-samalah warga Malaysia berpegang pada prinsip bahawa kita ‘menggunakan bahasa Malaysia dan menguasai Bahasa Inggeris’.


Cadangan khusus

Cadangan khusus ini adalah berkaitan saranan-saranan kepada institusi pengajian tinggi untuk menghasilkan mahasiswa yang bersedia dan membantu mempercepatkan terbentuk negara-bangsa Malaysia. Dicadangkan pihak pentadbiran universiti merancang melaksanakan dan memastikan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan lebih berkesan supaya mahasiswa-mahasiswa di universiti tidak hanya bergaul sesama keturunan mereka sahaja. Sebagai contohnya pihak universiti hendaklah memastikan atau menguatkuasakan tugasan berkumpulan di dalam kursus-kursus yang diikuti pelajar hendaklah disertai oleh pelbagai etnik. Pada pemerhatian pengkaji sebagai pelajar di UPM, sebahagian besar kumpulan-kumpulan yang dibentuk oleh mahasiswa dalam melaksanakan tugasan akan disertai oleh sekaum dengan mereka sahaja.

Seterusnya, kepempinan mahasiswa yang sedia ada hendaklah merancang program-program yang bersifat terbuka dan bervariasi supaya dapat menarik minat mahasiswa dari pelbagai latarbelakang. Sebagai contohnya melalui sukan yang dipastikan disertai oleh pelbagai etnik dan bukannya hanya disertai oleh etnik tertentu sahaja. Diperhatikan memang benar sesuatu penganjuran sukan terbuka untuk semua golongan namun penyertaannya biasanya akan disertai oleh kelompok tertentu sahaja iaitu berdasarkan kecenderungan minat kelompok tersebut. Disinilah kepimpinan mahasiswa dilihat dapat memainkan peranan untuk memastikan cara-cara untuk menarik minat kelompok-kelompok yang lain. Contoh lain ialah seperti acara kebudayaan hendaklah menampilkan penyertaan kaum-kaum minoriti dengan lebih giat lagi dan mereka yang terlibat didalam jawatan kuasa penganjuran hendaklah dipastikan terdiri daripada pelbagai keturunan mahasiswa.

Selain itu, penubuhan satu persatuan pelajar dari pelbagai keturunan kepimpinan mahasiswa yang mampu menggerakkan keseluruhan mahasiswa secara berkesan melalui program menanam semangat kecintaan kepada negara dan sentimen sebangsa dikalangan mahasiswa dilihat perlu dilaksanakan segera. Persatuan pelajar yang mampu memupuk semangat integrasi dikalangan mahasiswa akan dapat melahirkan satu golongan generasi muda yang berbangga dengan warisan negara yang terdiri pelbagai kaum sebagai sumber kekuatan negara itu sendiri.

Dicadangkan juga supaya diperbanyakkan kursus-kursus yang berkaitan memasukkan konsep negara-bangsa ini ke dalam isi kandungan dan pengajarannya di kuliah supaya mahasiswa sentiasa didedahkan bahawa negara ini mempunyai matlamat yang lebih tinggi iaitu membentuk sebuah negara-bangsa Malaysia yang mantap sifatnya. Dengan memperbanyakkan pendedahan tentang konsep ini, mahasiswa akan lebih bersikap terbuka dan mampu meningkatkan penerimaan mereka terhadap keperluan-keperluan yang mereka harus lakukan untuk membantu negara mereka mencapai hasrat murni ini.

Saranan terakhir khusus buat generasi muda, sama-samalah kita menilai dan meneliti diri, sejauhmanakah kita bersedia untuk membantu negara mencapai hasrat murni ini. Jesteru, generasi muda harus bersedia berkorban sedikit daripada ciri-ciri dan budaya kita masing-masing di dalam membina satu bangsa baru yang lebih utuh sifatnya iaitu Bangsa Malaysia ataupun kita masih sanggup mengorbankan keamanan dan perpaduan yang miliki sekarang demi untuk memastikan bahawa keturunan dan segala ciri-ciri etnik kita dapat dipertahankan. Seterusnya, generasi muda seharusnya sudah mempunyai sikap terbuka sewajarnya dalam menerima kaum-kaum lain di dalam kehidupan harian. Dalam tindakan seharian pula, generasi muda tidak boleh menggunakan sentimen sempit seperti perkauman, kepercayaan, kedaerahan dan kebudayaan dalam berdepan etnik-etnik yang berbeza dengan kita. Akhir sekali, adakah pada hari ini kita sudah dapat merasakan satu perasaan sentimen sebangsa dengan etnik-etnik yang berbeza dengan kita ?

Survival kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia hanya akan terjamin dengan terbentuknya sebuah negara-bangsa. Untuk itu kepada pejuang Melayu, sedarlah bahawa perjuangan mewujudkan negara-bangsa Melayu sudah lama gagal dan kepada pejuang berketurunan Cina dan India sedarlah anda bukan lagi orang Cina di negara China dan orang India di negara India. Kita semua pejuang Malaysia di negara Malaysia. Falsafah perjuangan berlandaskan etnik tidak menjamin kita ke arah yang lebih baik malah mungkin menjadi buruk keadaannya. Tiada cara lain, sama-samalah warga Malaysia membina bangsa baru iaitu bangsa Malaysia. Percayalah, berdiri dibawah naungan negara-bangsa tidak menghapuskan keturunan kita.




Saranan kajian akan datang


Kajian akan datang boleh dilakukan untuk meninjau sejauhmana tahap pengetahuan dan kesedaran golongan rakyat yang mendiami satu-satu kawasan ataupun beberapa tempat mengikut zon-zon tertentu. Kajian juga boleh meninjau pemahaman golongan masyarakat tertentu tentang negara-bangsa dan kepentingannya kepada diri individu, masyarakat dan negara. Disamping itu untuk mendapatkan data, temuramah perlu diselang-seli dengan pengisian borang soal selidik bagi memastikan kelompok yang hendak dikaji itu lebih faham dan memudahkan mereka bersoal jawab jika terdapat sebarang kemusykilan tentang soalan-soalan tersebut.

Kajian ini memberi tumpuan kepada saiz sampel yang kecil berbanding jumlah pelajar UPM keseluruhannya. Oleh itu, kajian akan datang juga disarankan untuk meningkatkan lagi saiz sampel supaya statistik sampel lebih mirip kepada parameter populasi sebenar. Disarankan juga kajian dijalankan di semua institusi pengajian tinggi bagi mendapatkan hasil kajian yang boleh mengambarkan keadaan sebenar mahasiswa di Malaysia terhadap proses mewujudkan negara-bangsa Malaysia ini.

Skop kajian mengenai negara-bangsa merupakan satu perkara yang amat luas. Jadi disarankan kajian akan datang lebih menumpukan kepada sesuatu aspek sahaja seperti politik, ekonomi atau sosial. Ini akan memberi hasil yang lebih jitu dan mengurangkan perkara-perkara penting terlepas dari skop kajian.



BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Embong. (2001). Negara-Bangsa: Proses dan Perbahasan. Bangi: Penebit UKM.

Abu Hassan Adam. (1992). Menghala Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Arena Ilmu Sendirian Berhad.

Abu Hassan Othman. (1997). “Tranformasi Masyarakat dalam Konteks Pembinaan Negara-bangsa Malaysia”. Dlm M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).

Ahmad Atory Hussain. (1987). Kepimpinan Masa Depan. Kuala Lumpur: Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.

Ahmad Fauzi Basri. (1997). “Pembinaan Negara-bangsa Malaysia dan Pencapaian Kini”. Dlm M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).

Ahmat Adam. (1997). “Budaya Popular dan Sepunya Dalam Konteks Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan”. Dlm M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).

Asnarulkhadi & Jayum A. Jawan. (ed) (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang, Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Azizi Ismail. (1997). Pembentukan Negara-bangsa Malaysia.. Kertas projek tahun akhir yang tidak diterbitkan. Jabatan Pengajian pembangunan Sosial, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

Dahlan, H. M. (1997). “Konsep Budaya Populor Malaysia: Satu Penilaian Intipati dan Pola Budaya”. Dlm M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia.. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).

Faizal Othman. (1993). “Pendekatan Bina Bangsa dalam Pengukuhan Tenaga Manusia bagi Wawasan 2020”. Dlm Kamaruddin Jaafar & Hazami Habib.(ed). Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

Awang Hasmadi Mois. (1997). “Hubungan Kaum dan Pencapaiannya”. Dlm M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia.. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).

Institut Tadbiran Awam (INTAN). (1980). Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan. Kuala Lumpur: INTAN.

John Naisbitt. (1992). Global Paradox: The Bigger the World Economy, the More Powerful Its Smallest Player. New York: Nicholas Brealey Publishing.

Just Faaland dan Jack Parkinson. (1991). DEB: Pertumbuhan dan Ketaksamarataan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamarudin Jaafar. (1993). “Pendekatan Bina Bangsa dalam Pengukuhan Tenaga Manusia bagi Wawasan 2020”. Dlm Kamaruddin Jaafar & Hazami Habib.(ed). Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

Kenechi Ohmae. (1995). The End of the Nation State: The Rise of Regional Economics. New York: The Free Press

Kerajaan Malaysia. (1999). Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000. Kuala Lumpur : Percetakan Nasional Malaysia Berhad

Leonard Tivey (ed). (1981). The Nation-State: The Formation of Modern Politics. Oxford: Martin Robertson

Mahathir Mohammad. (1991). Malaysia Melangkah Kehadapan. Kuala Lumpur: ISIS/Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Ranjit Singh. (1996) Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur : Federal Publications.

Rustam A. Sani. (1993). Melayu Baru dan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Disributors Sdn Bhd.

Sanusi Osman. (1989). Ikatan Kelas dan Etnik di Malaysia. Bangi: Penebit UKM

Sheikh Othman Salim.(ed) (1994). Kamus Dewan Edisi Baru (5th ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thock Ker Phong. (2002). “Dongjiazong Kuasa Politik Masyarakat Cina Malaysia” Pemikir, Bil. 28 (Apr-Jun) hlm. 1-23

Zainal Abidin. (1997). “Tahap Perpaduan Negara Dari Perspektif Sejarah”. Dlm M. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia.. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).